Halaman

06 September 2012

JKNT anjur Karnival Keselamatan Makanan 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan mengadakan Karnival Keselamatan Makanan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran Kuala Terengganu bermula 6 hingga 8 September ini.

Karnival yang bertemakan ` Keselamatan Makanan Tanggungjawab Semua’ anjuran bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berlangsung jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Sementara perasmian karnival pada 6 September (Khamis) jam 10.00 pagi di Galeri A, TTC.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, berkata karnival bertujuan memberikan pendedahan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang makanan,pelajar-pelajar, guru-guru dan orang awam mengenai aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian makanan.

“Kami menyarankan agar pengilang makanan (IKS/EKS), pelajar sekolah/institusi pengajian tinggi awam dan swasta, penjawat awam dan orang ramai turut menyertai Karnival Keselamatan Makanan 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu pada 2012 ini.

“Antara pengisian program dan faedah karnival itu adalah ceramah keselamatan dan kualiti makanan, penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan Premis Makanan 2012 bagi kategori restoran, kategori keropok lekor, kategori gerai di zon tumpuan penjaja dan kategori zon penjaja tumpuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Turut diadakan, pertandingan mewarna kanak-kanak pra sekolah dan sekolah rendah tahap I, `germ buster’ dan `giant games’, pertandingan teka lihat, hidu dan rasa, pameran kesihatan oleh keselamatan makanan, pemakanan, farmasi dan NCD, pameran agensi luar, bimbingan oleh Fama, Jabatan Pertanian, YPU, Mardi,Ketengah,UniSZa dan UMT.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma, pembimbingan keselamatan makanan pembungkusan, pelabelan, GMP dan HACCP, Pendaftaran FOSIM DOMESTIK secara online serta kuiz kesihatan, gerai jualan dan cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.