Halaman

15 September 2012

Kediaman Dato' Yahya dibanjiri lebih 15,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis rumah terbuka anjuran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, meriah apabila dibanjiri lebih 15,000 tetamu di kalangan penduduk tempatan khususnya dari kawasan Marang dan Kuala Terengganu.

Dato’ Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri turut mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Syamimi Syahidah dengan pilihan hatinya, Mohd Ilmi Hidayat Yunus dari Kuala Pilah di kediamannya itu, di Binjai Rendah, Marang, hari ini.



Majlis yang berjalan lancar bermula jam 11 pagi berakhir lewat petang dikunjungi pelbagai lapisan penduduk termasuk tetamu kenamaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, turut hadir kira-kira jam 12 tengahari.

Dato' Seri Haji Ahmad dan isteri kemudiannya menepung tawar kedua mempelai di pelamin, sebelum beliau mengiringi Dato’ Yahya dan isteri, To' Puan Rosnani Ngah memotong kek sempena hari lahir Ketua Bahagian Marang itu.

Selang dua jam kemudian, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Naib Presiden Umno sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Badan perhubungan Umno Bahagian Hulu Terengganu.