Halaman

13 September 2012

Kerteh muncul taman bioteknologi terbesar Asia Tenggara

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerteh bakal muncul taman bioteknologi terbesar Asia Tenggara menjelang 2015 dengan pelaburan kira-kira RM7 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga ini dua pelabur besar dari luar negara bersetuju melabur kira-kira RM3.65 bilion di kawasan tersebut.

Katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan Kompleks Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman pada 6 Oktober depan.

Projek Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman, kerjasama antara Kerajaan Terengganu dengan ECERDC.

Kompleks bernilai RM2 bilion itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat dari Perancis dan Korea, melibatkan pembangunan kilang bioteknologi menghasilkan L-methionine melalui farmentasi.

Kilang pertama seumpamanya di dunia itu bagi penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi bakal membolehkan Arkema anak syarikat Total untuk kimia, mengukuhkan kehadirannya di Malaysia (di mana ia telah mempunyai sebuah kilang, Cray Valley, yang menghasilkan resin di Johor Bahru) dan Asia (pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun).

“Sebuah syarikat dari Boston, Amerika Syarikat Pula bersetuju untuk melabur di bidang yang sama di Kerteh melibatkan pelaburan sebanyak RM1.65 bilion,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi ini.

Bagi menampung keperluan industri berkenaan, kerajaan negeri merancang untuk menanam pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Acacia Mangium bermula bulan depan bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.

Sejumlah 30,000 hektar tanah di kawasan berkenaan disediakan di mana ia mampu menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok itu pada setiap tahun.

projek berkenaan dilakukan melalui kerjasama antara Kerajaan Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).