Halaman

14 September 2012

Koperasi digalak ceburi sektor pelancongan, petroleum

Oleh: Aida Abd Rahman

Koperasi di Terengganu digalakkan menceburi bidang melibatkan petroleum dan pelancongan berikutan sektor itu merupakan antara industri utama dan berkembang pesat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera ,berkata lebih banyak koperasi di Terengganu disarankan menceburi bidang berkenaan yang mempunyai potensi yang cukup luas dalam pasaran serta mampu menjana pendapatan tinggi.



“Koperasi di negeri ini harus bijak mengambil peluang terhadap kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelancongan utama di negara ini.

"Kita harap lebih banyak koperasi di Terengganu terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti lawatan berpemandu dan inap desa kerana kita lihat aktiviti ini antara paling banyak menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Koperasi Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin (13 September).

Katanya, koperasi juga perlu mengambil peluang terhadap inisiatif kerajaan negeri yang sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan melibatkan diri secara serius dan berdaya saing dalam industri berkaitan bagi menghasilkan keuntungan kepada koperasi dan ahli.