Halaman

20 September 2012

MAYC Besut anjur pertandingan membakar lemang


Oleh: Mohammad Ishak 

Kemunculan pelbagai kuih moden memenuhi pasaran semasa menyebabkan ramai anak muda sudah tidak pandai membuat kuih dan makanan tradisional yang dikhuatiri ia akan hilang dalam arus perdana. Menyedari hal itu,

Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Besut, mengambil daya usaha mengajak golongan belia mempelajari membuat kuih atau makanan tradisional seperti lemang supaya mereka tahun cara dan kaedah membuatnya.

Sehubungan itu satu bengkel membuat dan membakar lemang dianjurkan oleh MAYC dalam usaha menggalakkan orang muda membuat lemang selain tidak mahu makanan tradisional itu hilang dalam ingatan generasi sekarang.

Bertempat di perkarangan Restoran & Rehat (R&R) Seberang Jertih bengkel sehari membuat dan membakar lemang berlangsung dengan meriahnya yang turut disertai belia dan remaja.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Awang berkata, pihaknya bangga program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 50 peserta menyertai bengkel berkenaan yang julung kali diadakan bagi memberi pendedahan kepada golongan belia.

Katanya, bermula daripada proses menyediakan bahan sehinggalah ia masak dan dapat dimakan peserta begitu berminat dan memberi perhatian walaupun pengalaman terpaksa dilalui apabila berada dalam keadaan cuaca panas kesan daripada api kayu yang digunakan untuk membakar lemang.

Menurutnya, peserta walaupun tidak mempunyai pengalaman tetapi mereka mampu menyiapkan lemang dalam tempoh singkat apabila kerja membakar bermula jam 10 pagi dan dapat dimakan kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata, penganjur juga menawarkan hadiah kepada kumpulan yang berjaya menyiapkan pembakaran lemang paling cepat selain mempunyai kreativiti dan cita rasa yang enak untuk dimakan.

Program membakar lemang terbesar itu dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Abdullah turut memuji usaha yang dilakukan oleh MAYC Besut selaku pengajur kerana ia dapat memberi pendedahan kepada belia mengenai selok belok membuat dan membakar lemang yang sebelum ini banyak dilakukan oleh golongan tua.