Halaman

18 September 2012

Merdeka Raya erat hubungan belia

Oleh: Aida Abd Rahman
Kira-kira 3,000 tetamu khususnya di kalangan belia daerah Marang menghadiri majlis sambutan Merdeka Raya Majlis Belia dan Badan Gabungan Belia Daerah Marang dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam (16 september).



Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda, berkata program julung kali `dua dalam satu’ iaitu sambutan Kemerdekaan Negara ke-55 dan Hari Raya Aidilfitri itu berjaya mengeratkan silaturahim di kalangan penganjur serta tetamu yang memeriahkan majlis berkenaan.

“Program ini pertama kali dianjurkan Majlis Belia dan juga Badan Gabungan Belia (Marang) bersempena sambutan dua perayaan yang cukup bermakna kepada generasi muda dan golongan belia khususnya.

“Kita harus menilai segala pembangunan dan nikmat keamanan yang bermula dari perit-jerih perjuangan pemimpin terdahulu ini dengan penuh kesyukuran. Sempena bulan yang penuh syafaat dan mulia ini wajar kita menggunakan peluang ini untuk meraikannya dalam suasana penuh muhibah dan ceria,” katanya kepada Teganukita, kelmarin (16 September).



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman.

Encik Zaidi berkata, penganjuran majlis itu juga merapatkan ikatan sesama pemimpin persatuan belia di daerah itu bagi merancang dan mengatur lebih banyak aktiviti yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan dan pemantapan sahsiah belia serta seluruh komuniti.