Halaman

01 September 2012

Pasukan MBKT tidak duga jadi juara keseluruhan

Oleh: Suriati Ali

Latihan tanpa jemu selama tiga minggu nyata berbaloi bagi pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) apabila diumumkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke 55.

Kontinjen MBKT antara 120 pasukan yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Dengan kejayaan itu MBKT layak membawa pulang wang tunai berjumlah RM9,000 dimana juara keseluruhan RM5,000 manakala juara kategori pasukan badan berkanun tidak beruniform RM4,000.

Menampilkan kekuatkan 50 anggota perbarisan yang segak berarak, berpakaian korporat biru dan putih mungkin memberi markah lebih kepada pasukan MBKT.

Ketua Kontinjen yang juga Datuk Bandar MBKT, Dato' Haji Adzlan Mohd Dagang, berkata dia bangga dengan kesungguhan anggota parbarisan MBKT yang tidak jemu menjalani latihan walaupun pada bulan Ramadan.

“Usaha itu nyata berbaloi apabila tanpa disangka-sangka pasukan kami diumumkan sebagai juara keseluruhan dan juara kategori pasukan badan berkanun tidak beruniform

“Pasukan kami hanya menduduki tempat ketiga ketika menyertai perbarisan empat tahun lalu iaitu 2008, faktor itu mendorong pasukan kami mengandakan usaha sehingga layak diumumkan juara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 2012, peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah: Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri, Briged Jeneral Dato’ Mohamad Zaki Hamzah.

Tetamu kehormat lain Ketua Polis Negeri SAC Dato’ Jamshah Mustapa dan beberapa Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat.

Sebanyak 120 pasukan melibatkan lebih 5,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan sekolah menyertai perbarisan sempena sambutan hari kebangsaan yang bertemakan `Janji Ditepati’.

Pasukan itu berarak sepanjang tiga kilometer dengan melalui Jalan Sultan Ismail, Bulatan Ladang, Jalan Pantai Batu Burok dan berakhir di dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.
Juara bagi kategori-kategori lain, pancaragam sekolah-sekolah menengah dimenangi pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin; pasukan Sekolah-sekolah menengah tidak beruniform (Sekolah Menengah Agama Khairiah); jabatan kerajaan tidak beruniform (Jabatan Kemajuan Masyarakat).

Kategori lain yang diumumkan juara adalah pasukan jabatan kerajaan dan badan berkanun beruniform (Jabatan Pertahanan Awam) dan pasukan beruniform sekolah adalah Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Pasukan yang diumumkan juara setiap kategori layak memenangi wang tunai RM4,000, naib juara (RM3,000) dan tempat ketiga pula RM2,000.