Halaman

17 September 2012

Pelajar Tatiuc bakal terima ijazah dan diploma

Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah bt. Abdillah (Pelatih)

Seramai 288 pelajar akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen TATIUC kali ke-6 bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada 22 September ini.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Canselor TATIUC, Tan Sri Dato’ Ir. (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaakob.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata seramai 18 graduan sulung program Sarjana Muda Mekatronik turut sama menerima Ijazah pada konvokesyen itu.

Katanya, jumlah graduan terkumpul bermula dari penubuhan TATIUC 1993 hingga sekarang ini adalah seramai 2807 orang.

“Setiap tahun Tatiuc mencatatkan peningkatan jumlah pelajar di mana pada tahun ini, seramai 843 orang mendaftar masuk untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Pertambahan bilangan pelajar membuktikan dan memberi gambaran positif terhadap sistem pendidikan di Tatiuc berkualiti dan diyakini semua pihak,” katannya pada sidang media di pejabatnya baru-baru ini.

Pesta Konvo turut diadakan sempena majlis konvokesyen TATIUC selama tiga hari iaitu bermula 20 September ini.

Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang pesta ini, antara konsert perdana, forum perdana, kejohanan futsal, senamrobik, gerai pameran, gerai jualan, pertandingan mewarna, kayuhan mesra dan tayangan amal.