Halaman

18 September 2012

Pelajar Unisza gembira jumpa Menteri Besar

Oleh: Suriati Ali

Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) malam tadi, bagi menyempurnakan program Ramah Mesra Bersama Menteri Besar nyata mengembirakan pelajar yang rata-ratanya belum pernah bersua muka.


Menteri Besar menyerahkan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia kepada wakil pelajar

Bertambah gembira apabila pemimpin utama Terengganu itu mengagihkan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia kepada semua pelajar.

Kad itu memberi faedah potongan lima hingga 60 peratus terhadap setiap pembelian di rangkaian perniagaan terpilih seluruh negara.

Pelajar semester tiga, Aida Dalilah Marwani, berkata dia gembira dapat bersua muka dengan Menteri Besar yang sememangnya dilihat mesra dan peramah dengan semua pelajar.

Katanya, jika tiada program seumpama ini mungkin sukar untuk kami mendengar amanat dan pesanan dari pemimpin utama kerana sibuk dengan kelas dan tugasan pensyarah.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Menteri Besar kerana sudi menyampaikan kad diskaun siswa yang memberi manfaat cukup besar bagi membeli buku dan pelbagai barangan lain,” katanya.

Pelajar jurusan reka bentuk perindustrian, Darmini A/P Yohanathan dari Kampung Pulau Kambing, Kuala Terengganu, berkata pemberian kad diskaun siswa bukan saja dapat membantu pelajar dalam pelbagai perkara malah mampu mengurangkan bebanan ibu bapa dan keluarga.

“Penerimaan kad ini nyata mengembirakan kami sekeluarga terutama ayah yang hanya berkerja sendiri.

“Saya tidak akan mensia-siakan pemberian cukup berharga ini, hanya menggunakannya apabila perlu,” katanya.

Pelajar dari Batu Pahat, Johor, Hong Bee Ping, berkata dia lihat pemimpin-pemimpin Terengganu banyak beza dengan pemimpin negeri lain.

“Pemimpin negeri ini, terutama Menteri Besar sanggup turun padang jumpa rakyat, termasuk pelajar macam kami bagi mengetahui masalah dan perkara yang boleh dibantu.

“Dengan kehadiran Menteri Besar ke Unisza banyak maklumat boleh kami ketahui di mana sebelum ini hanya membacanya dalam akhbar dan mendapatkan sumber melalui laman sesawang saja,”katanya.

Pelajar semester tiga dari Kuching Sarawak, Voon Mei Hui, berkata dengan adanya kad diskaun siswa, dia tidak akan membazir, sebaliknya hanya menggunakan kepada perkara berfaedah.

“Saya berharapa yang yang diterima ini terus diperluaskan lagi kepada semua pelajar termasuk yang masih berada di bangku sekolah menengah dan rendah,” katanya.