Halaman

12 September 2012

Pertandingan masakan Hong Bak MCA dan JKKK meriah



Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih dengan kerjasama Wanita MCA Bahagian Besut menganjurkan program Jom masak Hong Bak yang berlangsung di Dataran Rumah Awam Seberang Jertih semalam.

Program bertujuan merapatkan hubungan antara ahli komuniti terbabit mendapat kerjasama dan sokongan peserta dan penduduk setempat.

Seramai 20 peserta antara Melayu dan Cina secara berpasangan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan di Bandar Jertih membabitkan kaum berkenaan.

Selain, pertandingan memasak peserta dan orang ramai juga berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan secara percuma menerusi MCA Mobil Klinik yang didatang khas dari Kuala Lumpur.

Pada pertandingan itu, pasangan Teo Huey Lan dan Maimun Jusoh muncul johan dan menerima sebuah dapur gas, hamper dan plug.

Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Jertih, Baharom Said mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’Seri Idris Jusoh merasmikan program berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya.

Setiausaha JKKK Rumah Awam, Wan Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya bangga kerana dapat menganjurkan program bersama membabitkan Wanita MCA dan JKKK terbabit.

Katanya, program Gerak Mesra 1Malaysia yang pelopori Wanita MCA itu amat baik dan berkesan kerana ia dapat menjalin hubungan silatulrahim dan mewujudkan perpaduan kaum yang ada di negeri ini.