Halaman

05 September 2012

PMINT wujud projek fasa lima di KP Perdana

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha menambah projek hartanah baru di KP Perdana, di Kubang Parit, Kuala Terengganu dengan mewujudkan pembangunan fasa ke 5.

Projek yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat, membabitkan 144 unit rumah berkembar dua tingkat itu sebagai kesinambungan kepada projek sedia ada iaitu fasa satu hingga empat.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda (gambar) berkata, kira-kira RM30 juta akan dibelanjakan bagi menyiapkan projek di kawasan seluas 1.4 hektar itu.

“Langkah itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri bersama PMINT untuk menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyat.

“Apa yang membanggakan, keseluruhan projek sama ada berskala besar mahu pun kecil mampu disiapkan dalam tempoh ditetapkan sekaligus dapat mengelak dikenakan penalti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PMINT di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Kira-kira 150 tetamu istimewa terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal dijemput khas bagi menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Hadir sama, lebih 2,000 jemputan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelanggan PMINT serta penduduk sekitar Kuala Terengganu .

Rata-rata mereka dilihat berselera menikmati pelbagai juadah, termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai, lemang, ketupat, rendang, asam gumpal dan pelbagai jenis kek serta biskut raya.

Dato’ Haji Osman turut memberitahu projek lain yang bakal dibangunkan, lapan unit rumah kedai empat tingkat membabitkan kos keseluruhan RM6.5 juta.

“Tapak yang dicadangkan untuk pembangunan itu, bertempat di Kampung Pak Sabah, Dungun,” katanya.

“Pmint juga akan membina tempat letak kereta bertingkat di Jalan Engku Embong Fatimah, Kuala Terengganu sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan bandar raya.

“Kemudahan setinggi 10 tingkat itu akan mengadungi 700 lot tempat letak kereta berada di tingkat 1 hingga tingkat 6 dan lapan lot kedai di tingkat 1,” katanya.

“Manakala kemudahan lain iaitu pusat boling yang mempunyai 30 lorong ditempatkan di tingkat 7 dan 10 dewan panggung payang berada di tingkat 8 hingga tingkat 10,” katanya.