Halaman

18 September 2012

Warga Jordan seronok tinggal di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

“Di sini (negeri Terengganu) ada segala-galanya. Saya suka tinggal di sini...Kini saya dalam proses untuk memohon kerakyatan Malaysia dan akan terus tinggal di Terengganu,” kata Abdelrahman Ibrahim Islaleh, 29, seorang rakyat Jordan yang sudah lapan tahun bermaustatin di Terengganu.

Beliau berkata, suasana persekitaran di negeri ini yang aman dan kehidupan tenang mendorong beliau untuk terus berkhidmat di Terengganu dan menabur jasa di bidang pendidikan.

“Walaupun saya seorang warga asing, Kerajaan Negeri Terengganu (melalui Yayasan Terengganu) tetap memberi penghormatan sehingga saya sudah dua kali terpilih sebagai penerima Augerah Perkhidmatan Cemerlang,” katanya.

Abdelrahman merupakan guru Bahasa Arab Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang dilantik secara kontrak sejak 2004.

Kegigihan Abdelrahman layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2012.

Beliau antara 27 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2012 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, dalam majlis di Primula Beach Hotel, semalam.

Sebelum itu, bapa kepada dua cahayamata yang dilahirkan di Terengganu itu ditugaskan oleh YT untuk mengajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang.

“Sejak datang ke sini, baru sekali saya balik ke Jordan. Saya bercuti selama dua minggu, kahwin di sana dan selepas itu menetap di Kuala Berang dan kini di Besut,” kata beliau yang bukan saja fasih berbahasa Melayu, tetapi juga boleh bercakap dalam dialek Hulu Terengganu dan Besut.

Abdelrahman begitu rapat dengan masyarakat setempat dan beliau turut menabur bakti dengan mengadakan kuliah di beberapa masjid sekitar tempat tinggalnya di daerah Besut.

“Rakan-rakan di Sekolah Imtiaz Kuala Berang dan Besut banyak membantu saya dalam pelbagai aspek dan saya sangat menghormati mereka,” katanya.

Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di bidang teknologi pendidikan peringkat doktor falsafah (PhD) dan berhasrat mahu terus menetap di Terengganu walaupun ada tawaran bekerja di negeri lain.