Halaman

20 October 2012

21,610 pelajar Kelas KAFA khatam Quran

Sebahagian 21,610 pelajar kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) berjaya khatam al-Quran.
Oleh; Esah Abdullah

Seramai 21,610 pelajar Kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) dari tahun satu hingga enam seluruh negeri berjaya khatam al-Quran tahun ini berbanding 20,133 pelajar tahun lalu.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di lapan Parlimen iaitu Besut (3,186), Setiu (2,653), Kemaman (2,349), Dungun (2,555), Hulu Terenggau (1,933), Marang (2,551) dan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Batu Rakit (6,383).


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang merasmikan majlis khatam bagi Parlimen Kuala Terengganu di stadium Tetutup Kompleks Sukan Gong Badak turut berlintas langsung bersama YB Haji Rozi Mamat yang merasmikan majlis di Hulu Terengganu dan Dato’ Haji Mohamad Awang Tera bagi Parlimen Kemaman.

Pada majlis itu adik Nur Hidayah Azmidi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Jaya Setiu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Negeri yang membawa pulang wang Tunai RM500, medal dan sijil penghargaan.

Manakala adik Umairah Ramli dari SK Teluk Pasu mendapat tempat kedua dan adik Muhammad Nor Haikal Abdul Rahman dari SK Alor Peroi Besut tempat ketiga masing-masing menerima RM400 dan RM300, medal serta sijil penghargaan.


Turut menerima penghargaan adalah tujuh pelajar terbaik UPKK Peringkat Parlimen (RM200 setiap seorang) , tujuh buah sekolah terbaik UPKK (RM500) dan sekolah terbaik Khatam al-Quran (RM500) yang dimenangi SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.