Halaman

16 October 2012

Hati Seorang Pengayuh Beca


Oleh: Lan Bayu, Pengarang Teganukita.


“Saya susah, tapi saya tidak ada kerja lain nak buat. Saya dah tiga puluh tahun kayuh teksi di bandar ini, memanglah pendapatan amat kurang sekarang. Orang dah tak nak naik teksi lagi, cuma banyak bergantung kepada pelancong,”luah Ismail Din, 67 tahun. 
Ismail adalah di antara beberapa ‘kerat’ pengayuh beca yang masih wujud di bandar Kuala Terengganu, khususnya di sekitar kawasan pasar Kedai Payang tempat mereka mencari penumpang.

Penulis dekati seorang pengayuh beca ini, Ismail dari Kampung Gong Tok Nasek dan dia memberitahu setulusnya bahawa pendapatan beliau sehari,  “kadang kadang RM10, kadang-kadang dapatlah juga RM30”

Namun dia gembira dengan pekerjaan itu kerana memandangkan kerja yang halal, walaupun penggunaan beca semakin hilang penumpangnya, kian lenyap ditelan zaman.

Dia gembira kerana kerajaan Terengganu mengadakan Tahun Melawat Terengganu 2013, kerana kedatangan pelancong dan menggunakan beca di sekitar jarak yang dekat itu akan memberi pendapatan yang lebih sedikit untuk dia dan rakan-rakan yang masih ‘mengayuh teksi” itu.

Di Terengganu beca dikenali sebagai ‘teksi’ sejak dahulu lagi.

Pengayuh kenderaan pengangkutan yang kian menuju daerah senja ini sedar bahawa ramai yang malu atau segan untuk menaiki ‘teksi’ lagi, tetapi mereka masih yakin dapat meraih pendapatan untuk menyara diri dan keluarga, biarpun tidak seberapa.

Sekurang-kurangnya mereka telah menyumbang bagi mengekalkan warisan negeri bagi tarikan pelancong.

Ismail bila ditanya sokongannya kepada kerajaan, menyatakan kerajaan yang memerintah  sekarang adalah menjadi pilihannya.

“Saya suka MB Mat Said, dia cakna kita orang susah ni, baru ini dia semasa sambut raya dia datang jumpa dan beri bantuan untuk kita,” kata Ismail yang cukup senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

“Kadang-kadang kami berjumpa dengan Dato’ Mat Said di atas masjid putih, bersembahyang dan bersembang dengan kita,” ujar Ismail yang cukup suka dengan sikap Menteri Besar yang tidak mengikat diri dengan protokol bersama rakyat bawahan. (Masjid putih ialah Masjid Negeri).

Dia berharap kawasan sekitar tempat mereka mencari penumpang itu tidak diganggu oleh kenderaan lain seperti bas dan kereta sewa kerana itu akan menyebabkan pendapatan mereka hilang terus kerana ketiadaan penumpang lagi.