Halaman

29 October 2012

Jangan pinggirkan tulisan jawi

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat tidak harus pandang rendah terhadap tulisan jawi sebaliknya perlu mempelajari dan menguasai bahasa al-Quran itu,” kata Haji Hamdan A. Rahman, 73, penerima trofi penghargaan Penggiat Jawi dan Khat Kebangsaan 2012.

 “Kita perlu menguasai tulisan jawi kerana ia bukan saja melambangkan budaya orang Melayu juga merupakan sebahagian seni khat,” katanya ketika ditemui di majlis Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, bukan tidak ramai yang tahu berbahasa jawi tapi perlu menambah bilangannya di samping perbanyakkan bahan-bahan bacaan jawi untuk menarik minat generasi mempelajarinya dan jika ini berlaku pasti ia saling melengkapi.

Haji Hamdan yang beraal dari Batu pahat, Johor merupakan pakar dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi sejak 1970 dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang bahasa Melayu dan Linguistik di Universiti Kebangsaan Malayia.

Turut berpengalaman menjadi pensyarah dalam bidang yang sama di Universiti Brunei Darussalam, Kementerian Pendidikan Brunei dan Prince Of Songkhla University, Thailand.

“Saya harap generasi hari ini tidak meminggirkan tulisan jawi kerana penguasaan bahasa berkenaan akan meningkat bahasa dan tamadun Melayu,” katanya.

Seorang lagi menerima penghargaan yang sama ialah Nik Muhammad Nik Abdul Kadir 30, berkelulusan sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah mengembangkan penggunaantulisan jawi melalui kaedah IT.

Beliau telah membangunkan e-jawi yang boleh digunakan secara percuma sejak 2006 lagi dan turut membangunkan enjin terjemahan rumi-jawi sebagai ‘plugin’ yang boleh digunakan untuk mana-mana sistem web aplikasi yang memerlukan penggunaan tulisan jawi secara pantas.

“Saya juga telah membangunkan keyboard jawi maya (multilingual virtual keyboard) untuk Mynic Berhad (.my Domain Registrar) pada 2008-2009,” katanya.

Dua yang lain turut terpilih menerima trofi berkenaan ialah Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Haji Mohamed Yusof Abu Bakar berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Al-Kaherah, Mesir dan Encik Gan Awang @Abdullah Baliseh yang merupakan pengiat tulisan jawi berbangsa Cina.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dato’ Raslin Abu Bakar telah menyampai trifi penghargaan kepada tokoh tulisan jawi berkenaan.