Halaman

09 October 2012

Jentera parti diminta buat persiapan rapi hadapi PRU

Oleh: Suriati Ali

Semua jentera parti di Terengganu perlu membuat persiapan rapi bagi merebut semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelaksanaan gerak kerja sempurna selain usaha bersungguh-sungguh akan menjamin hasil baik kepada parti.

“Semua pihak menyedari bahawa kawasan ditakluki pembangkang kini khasnya Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Ladang, Bukit Tunggal dan Batu Burok bukanlah kawasan kubu kuat pembangkang.

“Kawasan terbabit hanya kalah tipis dan jika kita tingkatkan usaha dengan mendekatkan diri kepada rakyat dan bertanya khabar, tidak mustahil kita boleh bangkit balik kembali," katanya.

Katanya, pihaknya berharap perkara ini jangan dipandang ringan supaya mudah untuk kita hadapi cabaran dengan cara terbaik. Sebagai wakil sekretariat Barisan Nasional (BN), kita mahu pastikan supaya jentera kenal pengundi.

“Kita kena bahagi kerja, kena ada semangat kerja dan tidak guna berdolak-dalik,” katanya. Dato’ Tengku Putera turut meminta jentera parti memperkuatkan kerjasama antara satu sama lain tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

“Semua jentera parti perlu belajar daripada kesilapan lalu memandangkan BN telah pun berhadapan cabaran hebat apabila tewas kepada pembangkang dalam pilihan raya kecil di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 2009," katanya.

Beliau menjelaskan, jentera parti perlu memenangi hati pengundi dengan turun padang bagi memastikan kemenangan cemerlang.

"Kita harap pengalaman lalu dapat membentuk kita baiki sepenuhnya. Jadikan sempadan apa yang tidak bagus dan apa yang tidak lengkap kita laksana sebaik-baiknya,” katanya.