Halaman

10 October 2012

JPBP arah semua jabatan dan agensi memperkemaskan jentera hadapi banjir

Oleh; Esah Abdullah

Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) telah mengenalpasti 54 buah pusat pemindahan di seluruh negeri yang memerlukan kemudahan tandas tambahan terutama tempat yang sering berlaku pemindahan mangsa banjir yang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi JPBP, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengerakkan 15 buah ‘mobile toilet’ yang kini ditempatkan di Kem 512 (AW) Padang Midin ke pusat-pusat pemindahan berdasarkan keperluan dan permintaan.

“Saya menggesa semua pihak dalam pengurusan bencana negeri seperti jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan sukarela, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin komuniti setempat perkemaskan jentera pengurusan bencana masing-masing supaya lebih proaktif dan responsif pada setiap masa,” .

“Persediaan juga meliputi bekalan makanan, keperluan harian, kelengkapan logistik, kenderaan serta kekuatan anggota di barisan hadapan dan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNT) Terengganu di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu hari ini.


Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan semua wakil jabatan dan agensi  kerajaan yang terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

 Dalam pada itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenalpasti 198 kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini iaitu di Besut (30), Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan Kemaman (42).

Katanya, jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menetapkan 353 pusat pemindahan yang berupaya menampung 49,052 orang mangsa banjir.

Menurutnya, daerah Besut mempunyai paling banyak pusat pemindahan iaitu 98 dengan muatan mangsa 11,082 diikuti Hulu Terengganu (78) 8,590 mangsa, Dungun (56) 9,615 mangsa, Kemaman (35) 6,030 mangsa, Setiu (35) 2,635 mangsa, Kuala Terengganu (27) 7,000 mangsa dan Marang (24) 4,100 mangsa.

Dalam masa yang sama JKM turut mengenalpasti 110 buah pengkalan hadapan bagi menempatkan bekalan yang strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan dan bekalan juga dapat dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana.

“Berdasarkan laporan dan maklum balas yang saya terima, semua jabatan dan agensi telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir berlaku di negeri ini,” katanya.