Halaman

02 October 2012

Kurang subsidi gula, tidak wajar dijadikan isu

Oleh: Suriati Ali

Pembangkang tidak wajar menjadikan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram gula sebagai isu politik sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, langkah diumumkan kerajaan dalam Bajet 2013 itu perlu dilihat dari konteks positif yang menyedarkan lebih ramai rakyat tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

''Mereka sepatutnya membudayakan amalan mengelak penggunaan atau pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minuman harian di mana pencegahan itu merupakan satu penjimatan bagi mereka dalam jangka masa panjang.

''Apalah sangat kenaikan 20 sen bagi setiap kilogram dan setiap rumah mungkin hanya mengunakan dua atau tiga kilogram gula sebulan.

Justeru cuma pertambahan 60 sen dan peniaga yang tamak sahaja mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan,” katanya.

 Katanya, kerajaan bukan sengaja ingin mengurangkan subsidi, sebaliknya ia dilakukan berikutan statistik rakyat di negara ini dikesan semakin tinggi mengalami penyakit diabetis.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013 mengumumkan pengurangan gula sebanyak RM0.20 sen sekilogram berkuatkuasa, semalam.

 Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan mengalami kenaikan sebanyak empat kali sejak 1 Januari 2010 iaitu sebanyak RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekoligram (4 Disember 2010) dan kali terakhir 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit RM2.50 sekilogram sehingga kini.