Halaman

15 October 2012

Pakatan Pas, PKR, DAP runtuh Kerajaan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pakatan Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar disokong kerana ia meruntuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata selepas bergabung dengan DAP melalui Pakatan Rakyat, Pas sebenarnya melakukan kerja-kerja jahat yang bertujuan menumbangkan Kerajaan Islam yang telah dibentuk oleh Umno melalui pakatan BN.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN yang didokong oleh Umno adalah baik dan sentiasa mengutamakan ajaran Islam serta meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Sebaliknya, Pas hanya bercakap untuk memperjuangkan Islam, tetapi mereka sebenarnya mahu meruntuhkan sebuah Kerajaan Islam kerana mereka tunduk kepada kehendak DAP yang memang anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik hadir bersama-sama kira-kira 170 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Bukit Tunggal hadir pada majlis berkenaan.

Haji Shamsuddin berkata, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan BN juga jauh berbeza dengan yang dilakukan Pas sewaktu memerintah negeri ini.

“Kerajaan BN tidak memilih bulu dalam soal pembahagian dana atau bantuan kerana memikirkan setiap rakyat yang layak perlu dibantu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, Pas yang memerintah negeri ini dari tahun 2009 hingga 2004 mengamalkan kronisme dalam pemberian bantuan dan dana serta projek-projek kerajaan.

Katanya, Pas, DAP dan PKR cemburu dengan apa yang dilakukan oleh BN sekarang ini dan mereka mahu menumbangkan Kerajaan BN kerana kepentingan peribadi bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat.