Halaman

08 October 2012

Perkasa sektor pelancongan, alternatif tampung sumber petroleum

Oleh: Suriati Ali

Terengganu komited memperkasakan sektor pelancongan sebagai alternatif menambahkan pendapatan negeri, sekali gus mampu menggantikan sumber petroleum yang semakin menyusut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri perlu bersedia dengan merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan tarikan seperti pulau, tasik dan air terjun, selain keunikan budaya yang mampu menambat hati pelancong luar negara.

Katanya, sektor pelancongan menjadi alternatif penting bagi menggantikan sumber petroleum yang belum tentu bertambah pada masa akan datang.

“Kita mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik selain kaya dengan keindahan alam semulajadi. “Ini mampu menambat hati pelancong, sekaligus menjana pulangan ekonomi kepada negeri.

Di mana kawasan yang berpotensi maju, kita akan perindahkan semata-mata mahu pelancong luar datang berkunjung ke negeri kita,” katanya. Beliau berucap ketika merasmikan Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Sebanyak 18 bot mewakili jabatan dan agensi swasta mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan bot milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dinobatkan sebagai juara, sekaligus membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan hadiah wang tunai RM15,000.

Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.