Halaman

15 October 2012

Perlu guna bahasa kebangsaan-MB

Oleh: Suriati Ali 

 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan di Terengganu diminta menggunakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai urusan, terutama berkaitan papan iklan, majlis dan surat rasmi.

YB Dato' Rahin melakukan gimik perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan di TTI
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara ini kerana masih terdapat pihak berkaitan gagal mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

“Sebaliknya, mereka lebih gemar menggunakan bahasa inggeris dalam menyiapkan sebarang tugasan seperti surat pekeliling, surat arahan dan minit mesyuarat.

 “Kita sewajarnya memandang serius perkara ini kerana sudah termaktub dalam surat pekeliling awam,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

 Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said.

 Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.


Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu program bulan bahasa kebangsaan adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 “Oleh itu, saya menggesa rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.