Halaman

17 October 2012

PPD prihatin nasib ibu tunggal dilema rumah hampir roboh

Oleh: Aida Abd Rahman

Rumah seorang ibu tunggal hampir rebah apabila dinding dan lantainya sudah lebih 60 peratus di makan anai-anai.

Jika lambat dibantu pasti Selamah Abdullah, 62, dari kampung Gong Merawang, Rhu Muda, sukar menjalani kehidupan dengan lebih lancar dan selesa bersama lapan anaknya.

Haji Nik Dir memeriksa lantai rumah seorang penduduk sebelum menggantikan yang baru.
Sebagai pemimpin yang prihatin, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, turun padang meninjau masalah dihadapi wanita berkenaan, baru-baru ini (12 Oktober).

Haji Nik Dir bersama JKKK kampung itu, Haji Othman meluangkan masa melihat dan menilai sendiri kerosakan rumah Selamah, seterusnya berjanji untuk menyalurkan sumbangan sewajarnya bagi menyelesaikan dilema yang menghimpit keluarga itu sejak beberapa tahun lalu.

 “Kita meminta JKKK membuat penilaian dan mengemukakan permohonan mengikut prosedur supaya bantuan segera dapat dibuat bagi memastikan Selamah dapat tinggal lebih selesa bersama keluarganya selepas ini.

Nasib Selamah Abdullah mendapat perhatian Pegawai DUN Rhu Rendang.
“Penduduk seperti Selamah, seorang ibu tunggal yang menerima bantuan am bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat dan tidak berkemampuan menyediakan peruntukan bagi membaiki rumahnya merupakan kelompok masyarakat yang harus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Menurut Nik Dir, beliau yang dipertanggungjawab memikul amanah yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional (BN)  akan berusaha menjaga kebajikan penduduk yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Pas-Rhu Rendang) dengan sebaik yang mungkin.

Katanya, hanya Kerajaan BN yang mendengar keluhan dan membela nasib rakyat selama ini, sekaligus menepati janji yang diuar-uarkan dengan hasrat rakyat mendapat pembelaan.

Pada masa yang sama, beliau yakin dan percaya tahap keyakinan penduduk terhadap BN semakin baik berdasarkan sokongan serta sambutan mereka dalam program yang dilaksanakan BN dan Umno di peringkat cawangan, DUN mahupun Parlimen.