Halaman

11 October 2012

Program Jalinan Rakyat di DUN Rhu Rendang

Oleh :Amirullah Othman

Demi memperjuangkan kepentingan rakyat dan menyemai sikap mengenang budi kepada kerajaan, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berusaha gigih bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai program pembangunan serta bantuan yang setiap masa disalurkan oleh Kerajaan Terengganu.

Mutakhir, seramai 200 orang yang terdiri daripada golongan wanita telah diundang dalam satu majlis Jalinan Rakyat di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya.

Maklumat-maklumat mengenai bantuan dan program kerajaan negeri bagi kesejahteraan rakyat disampaikan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong dan Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Encik A.Latiff Awang.

Haji Nik Dir berkata, usaha ini sangat penting kerana golongan ini biasanya hanya berada di rumah dan tidak terdedah dengan dunia luar.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, sedikit sebanyak telah membuka mata mereka di mana golongan ini boleh bertindak sebagai agen maklumat dasar-dasar kerajaan untuk disampaikan kepada jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya kesedaran di kalangan golongan wanita mereka akan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepada keluarga masing-masing dan terus menyokong kerajaan negeri.

“Bagi meningkatkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin setempat, perjumpaan-perjumpaan dalam kuantiti yang kecil akan diadakan dengan kerap supaya setiap permasalahan dapat diselesaikan,” katanya.