Halaman

13 October 2012

Rampas semula DUN Ladang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera pilihan raya Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diminta bekerja keras bagi memastikan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi DUN Ladang pada pilihan raya akan datang dapat dicapai.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin ramai pengundi di kawasan tersebut telah sedar kesilapan mereka memilih calon Pas pada pilihan raya umum lalu.

“Jika jentera pilihan raya Umno bekerja lebih keras bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai apa yang telah Kerajaan BN buat dan apa keburukan Pas, kita akan menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Dato’ Haji Wan Hisham berkata, BN boleh merampas semula kawasan itu jika semua pihak mengembeleng tenaga untuk membantu calon yang dipilih oleh parti, tanpa mengira siapa calon berkenaan.

“Pada pilihan raya ini kita tidak mahu ada pihak yang mempertikaikan pemilihan calon dan melakukan sabotaj kerana tidak bersetuju dengan calon,” ujarnya.