Halaman

09 November 2012

Dataran ganti balai raya terbakar

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir yang kehilangan pusat mengadakan aktiviti kampung selepas balai raya di kampung itu musnah dalam kebakaran awal pagi kelmarin, menerima berita gembira apabila dataran orang ramai akan dibina di tapak kejadian itu tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bercadang membina kemudahan itu untuk mengadakan sebarang aktiviti termasuk riadah dan keraian masyarakat kampung itu tidak lama lagi bagi menggantikan balai raya yang musnah akibat kebakaran itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri mengadakan lawatan ke tempat kejadian dengan ditemani Pengerusi JKKK Kampung Telaga Daeng, kira-kira jam 9 pagi semalam (7 November).

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, lebih 200 penduduk Kampung Telaga Daeng terjaga daripada tidur apabila dikejutkan dengan bunyi letupan akibat balai raya terbakar. Balai raya yang dikatakan dibina lebih 30 tahun lalu itu dan dijadikan sebagai pusat mengaji al-Quran dan berkumpul untuk majlis perkahwinan penduduk setempat musnah dalam kebakaran pada awal pagi itu.

 Bagaimanapun, sejak setahun lalu kemudahan asas itu tidak lagi digunakan dan dibiarkan penduduk tanpa berkunci.