Halaman

19 November 2012

Doa hancur Umno cermin peribadi buruk pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Doa pemimpin dan penyokong Pas yang meminta kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) mencerminkan peribadi sebenar pemimpin parti itu yang bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata tindakan itu juga menunjukkan kerakusan pemimpin Pas untuk menawan Putrajaya dengan apa cara sekalipun walaupun ia menyimpang jauh dari sunnah Rasulullah s.a.w.

“Rasulullah s.a.w sentiasa mendoakan keselamatan dan meminta Allah s.w.t membuka pintu hati mereka yang berbuat jahat kepada baginda supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

“Dalam peristiwa di Thaif, baginda mendoakan keselamatan kepada penduduk di kawasan itu walaupun baginda sendiri dibaling dengan batu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Pas menganjurkan solat hajat dan mendoakan agar Umno dan BN) dihancurkan, sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Stadium Muhamad, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Solat Hajat diimamkan adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat.dengan isi doanya berbunyi "KO BN !! .. KO BN !!...BN KO !!... KO BN !!.. BN KO !!...." itu mengejutkan masyarakat Islam di seluruh negara.

Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, dalam reaksi beliau kepada pihak media turut merestui doa tersebut dan tidak sedikit pun menyalahkan Nik Razi yang membaca doa berkenaan.

YB Kazan berkata, perbuatan pemimpin dan pengikut Pas yang mendoakan kehancuran Umno amat tidak wajar kerana walaupun pemimpin dan pengikut Umno ada melakukan kesilapan, mereka sepatutnya menegur secara hikmah.

“Walaupun pemimpin Umno jahat sekalipun, ia tidak sama dengan Firaun kerana pemimpin Umno masih lagi melakukan kebaikan seperti membina masjid dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Pemimpin Umno masih mendirikan solat, menunaikan haji, melakukan ibadat korban dan macam-macam lagi suruhan agama yang tidak dilakukan oleh orang-orang kafir,” katanya.

Justeru, beliau menyoal di mana letaknya rasional pemimpin Pas mendoakan agar orang-orang Umno dihancurkan seperti Firaun.

“Bagi saya, pemimpin Pas sendiri bukannya baik sangat, jika tidak mengapa mereka dihentam dengan begitu hebat oleh perwakilan parti itu sendiri dalam Muktamar Pas baru-baru ini.

“Dalam Muktamar Pas itu perwakilan mengkritik pemimpin mereka yang bertindak tidak selaras dengan kehendak dan ajaran Islam.

"Ini membayangkan pemimpin Pas turut lalai dan tidak mematuhi ajaran Islam sepenuhnya,” ujar beliau.

YB Kazan berkata, jika pemimpin Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan buruk seumpama itu, sebaliknya mengikut jejak langkah Nabi Muhammad s.a.w untuk mendoakan kesejahteraan kepada sesama umat Islam yang boleh dianggap sebagai saudara waalupun mereka melakukan kesilapan.