Halaman

05 November 2012

Hadi tanding Pekan hanya gimik politik Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu menganggap kenyataan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai gimik politik murahan parti itu.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif  Abd Rahman (gambar) berkata, Presiden Pas itu tidak akan sanggup meninggalkan kerusi tradisi beliau iaitu Parlimen Marang, untuk menentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pekan pada PRU 13.

“Itu hanya gimik politik murahan Pas yang bertujuan untuk menghangatkan suasana politik semasa. Hari ini Pas tidak ada modal politik lagi bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan parti itu, lalu mereka mengadakan cerita murahan seperti ini,’”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi kelmarin bahawa beliau sedia bertanding di Pekan pada PRU 13 yang kini disandang Perdana Menteri.

Presiden Pas itu berkata, beliau akan mematuhi apa saja keputusan yang dibuat oleh Pas dan sedia beralih kerusi jika diputuskan demikian.

“Kita tidak yakin Presiden Pas akan meninggalkan kerusi Marang dan bertanding di kawasan Parlimen Pekan,” kata Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia menghadapi tentangan daripada Presiden Pas untuk bertanding di mana-mana kerusi di seluruh negara.

“Kita sentiasa bersedia untuk menentang bukan saja Presiden Pas, tetapi semua pemimpin parti itu,’ ujar beliau.