Halaman

29 November 2012

Hari tongkat putih dapat sambutan luar biasa

Oleh; Esah Abdullah

 Penyertaan beberapa Pertubuhan Orang-orang Buta Malaysia (SBM) dari luar Terengganu seperti Perak, Pahang, Kuala Lumpur/Selangor dan Kelantan memeriahkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia dan Hari Tongkat Putih Antarabangsa peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi SBM Terengganu, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata, program tersebut telah mendapat sambutan luar jangka iaitu kira-kira 1,000 orang di mana penganjur hanya mensasarkan 600 peserta sahaja.

“Masyarakat kita memang terkenal dengan sikap berbudi bahasa dan ini jelas apabila ramai golongan normal sedia menghulur bantuan dan memberi kerjasama erat dalam menjayakan program ini,” katanya.

 Beliau juga mendambakan simpati masyarakat normal untuk memberi kerjasama terhadap golongan cacat penglihatan terutama ketika mereka berada di tempat awam.

Katanya, program yang julung kali diadakan itu bermula dari Dataran Shahbandar melalui Jalan Masjid Zainal Abidin, Jalan Kampung Daik, Jalan Paya Keladi, Jalan Syed Hussin, Jalan Tok Lam dan kembali ke Dataran Shahbandar.

Beliau gembira dan terharu kerana mendapat kerjasama penuh daripada sukarelawan termasuklah penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Kolej Latihan Kejururawatan Terengganu, Puteri UMNO Terengganu, Ahli Parlimen Kuala Nerus dan orang perseorangan.

 Hari Tongkat Putih Antarabangsa adalah satu event global yang disambut setiap tahun untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai golongan pemegang tongkat putih di samping memberi pendedahan kepada pengguna jalanraya terutama pemandu kenderaan tentang keperluan mengamalkan etika berbudi bahasa dan bersikap perihatin apabila mendekati OKU penglihatan menggunakan sebatang tongkat putih.

Hari Penglihatan Sedunia pula disambut pada setiap hari Khamis minggu kedua pada bulan Oktober setiap tahun bertujuan memberi pendedahan kepada pentingnya penjagaan mata.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah di mana kedatangan beliau disambut dengan persembahan silat dari persatuan pencak silat Rakan Muda.