Halaman

15 November 2012

Isu Jambatan Sungai Pinang tertangguh selesai

Oleh: Aida Abd Rahman

Isu jambatan Sungai Pinang, Kemaman yang terbelangkai sejak tujuh tahun lalu akhirnya selesai apabila infrastruktur awam itu akan disiapkan tidak lama lagi.

Kerja menaiktaraf jambatan utama yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung termasuk Kampung Binjai dan Air Putih dengan Bandar Cukai itu melibatkan peruntukan kira-kira RM8 juta.

Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata selepas tertangguh sekian lama, jambatan yang amat penting bagi kegunaan penduduk sekitar serta pengguna jalan raya yang melalui Bandar Cukai itu dapat diteruskan semula selepas mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

 “Projek menyiapkan jambatan yang tertangguh dan menjadi rungutan ramai penduduk itu akhirnya dapat dijalankan semula selepas Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri yang menyelesaikan pemasalahan dan isu melibatkan kepentingan penduduk di DUN ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, jambatan itu dijangka mengambil masa dua tahun dibangunkan sebelum dapat digunakan pada akhir 2014.

Jambatan berkenaan sebelum ini dibina terlalu rendah yang menyebabkan ditelenggami air apabila banjir melanda kawasan itu.