Halaman

22 November 2012

Jentera Umno mantap

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah mantap dan berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.


Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya bersedia di segi fizikal dan mental, termasuk menyediakan penceramah yang terbaik bagi menangkis serangan daripada parti pembangkang.

“Semua peti undi, bilik gerakan, perayu undi dan jentera parti di setiap peringkat kini berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13),” katanya ketika ditemui Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, Umno Terengganu memulakan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya sejak awal tahun di mana penceramah parti diberi input berkaitan pelbagai isu bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang gemar memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin Umno serta BN.

“Kita menyediakan penceramah tidak kurang daripada 20 orang bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini,’ ujar beliau.

Penerangan Umno negeri akan melancarkan ceramah besar-besaran di peringkat Parlimen dan DUN dalam tempoh terdekat ini bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung program dan dasar kerajaan.

Katanya, penceramah berkenaan akan menyalurkan maklumat semasa mengenai bantuan dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN bagi membantu rakyat tempatan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa yang sama penceramah Umno akan menjelaskan isu-isu semasa kepada seluruh rakyat Terengganu agar mereka tidak dikelirukan dengan fakta-fakta tidak tepat seperti ditimbulkan parti pembangkang dalam ceramah mereka,” tambahnya .

Sebelum ini, semua peti undi diarah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, termasuk menyediakan bilik gerakan dan petugas daalm semua aspek, bagi memastikan kemenangan BN.

“Umno negeri mengarahkan semua peti undi membentuk petugas bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan dan pengundi luar,” katanya.

 Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya yakin dengan persiapan yang teliti itu BN berpeluang untuk mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini, termasuk daripada generasi muda.

“Kita harap Umno dan BN akan terus menang pada pilihan raya kali ini dan kekal memerintah di Terengganu dan negara ini,” ujarnya.