Halaman

12 November 2012

JKKN lantik 1,000 jurulatih untuk bimbing pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melantik kira-kira 1,000 orang jurulatih di seluruh negara bagi membimbing pelajar sekolah dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Che Kasim Mahmud berkata, jurulatih yang dilantik itu dari kalangan mereka yang berpengalaman selain mendapat bimbingan secara berterusan dari JKKN sendiri.

“Jurulatih ini meliputi enam disiplin, iaitu seni teater, muzik, tarian, seni persembahan, silat dan juga gasing,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Festival Bimbingan Seni Budaya ‘Mengapai Pelangi’ di Audotorium Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

 Menurutnya, program tersebut telah bermula sejak tahun 1996, melibatkan pelajar di sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan merupakan projek berterusan JKKN.

“Program yang bermula Febuari sehingga Ogos lalu ini melibatkan 250 hingga 500 pelajar setiap negeri, dan mereka diajar oleh jurulatih yang telah dilantik dua kali seminggu atau 16 jam sebulan,” katanya.

Manakala waktu dan masa mengikut keperluan dan kesesuaian sekolah yang terlibat termasuk bidang disiplin yang dipilih. Asasnya mereka perlu melalui modul yang telah ditetapkan oleh JKKN.

“Ia diangap sebagai kredit untuk anak-anak kita dan melalui program ini juga, setiap negeri boleh mengenengahkan identiti kebudayaan negeri masing-masing,” katanya.