Halaman

14 November 2012

JKNT giat atur kempen cegah denggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan sejumlah 663 kes melibatkan 618 demam denggi dan 45 kes demam denggi berdarah dilaporkan di seluruh Terengganu sejak Januari hingga 3 November lalu.

Jumlah itu meningkat 18.4 peratus berbanding 560 kes dengan 462 kes demam denggi dan 98 kes demam denggi berdarah bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pihaknya memberi tumpuan serius terhadap peningkatan kes denggi di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan mengatur pelbagai inisiatif dan usaha pencegahan menerusi Kempen Kebersihan Cegah Denggi.

“Enam daerah menunjukkan trend peningkatan kes di mana Besut (110.9 peratus), Kemaman (51.8 peratus), Setiu (42.9 peratus), Marang (tujuh peratus) dan Kuala Terengganu serta Hulu Terengganu, masing-masing dua peratus.

“Hanya Dungun sahaja menunjukkan penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Dr Anwa berkata, pihaknya mengatur pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah itu termasuk menyediakan Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi Khas bulan Oktober hingga Disember ini di seluruh Terengganu mengikut daerah.

Katanya, pelan tindakan ini disediakan berdasarkan masalah sebenar di daerah masing-masing dan pelaksanaan pelan ini dipantau secara terperinci oleh Pihak Vektor negeri.

 “Fokus diberikan kepada lokaliti yang bermasalah denggi di daerah dengan merencanakan serta melaksanakan aktiviti kawalan serta pencegahan secara berkesan.

 “Tindakan lain JKNT bagi mengatasi masalah denggi seperti mengadakan Kempen Gotong-royong di semua kemudahan kesihatan di negeri Terengganu yang mana dijalankan sebanyak empat kali sepanjang tahun ini,” katanya.

Menurutnya, JKNT turut mengedarkan hebahan dan peringatan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi menjalankan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekolah khususnya sempena cuti sekolah tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya turut mengadakan pondok informasi denggi di tempat strategik, mengedarkan teks hebahan `Alert Denggi’ di masjid daerah, hebahan menerusi media dan perkongsian maklumat dengan klinik swasta, sekolah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat daerah dan jabatan yang berkaitan mengenai kes denggi serta langkah pencegahannya.