Halaman

05 November 2012

JPN anjur program pendidikan kebersihan

Oleh: Noraini Jusoh

 Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan kawasan sekolah peringkat negeri Terengganu 2012 telah berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

 Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh adik Ahmad Fadhlur Ridhwan Ahmad Sabri dari Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) SMK Panji Alam yang merupakan johan dalam acara hafazan peringkat kebangsaan sempena majlis tilawah al-Quran pendidikan khas peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata, pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama JPNT ini antaranya bertujuan membudayakan amalan menjaga kebersihan di kalangan pelajar sekolah.

 “Terdapat pelbagai kategori yang telah dipertandingkan dan apa yang membanggakan ianya turut melibatkan murid Orang Asli dan Pendidikan Khas.

“Bagi kategori murid Orang Asli antara pertandingan yang telah diadakan ialah pidato bahasa Melayu, pidato bahasa Inggeris, dan pertandingan mewarna, di mana johan menerima RM200, naib johan RM150 dan ketiga RM100 beserta sijil, plak dan mock cheque bagi setiap pemenang,” ujarnya dalam ucapan aluan majlis tersebut.

 Katanya, pemenang mewarna sekolah rendah kategori sindrom down dan pertandingan melukis poster sekolah menengah bagi kategori yang sama turut menawarkan hadiah serupa seperti yang dimenangi murid Orang Asli.

YB Tuan Haji Ramlan Ali merangkap Timbalan Pengerusi 1, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri telah menyempurnakan majlis perasmian penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan pada kali ini.