Halaman

05 November 2012

Kerajaan sasar lahir 40,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 40,000 usahawan sepanjang lima tahun di bawah Pelan Strategik MARA 2011-2015.



Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tahun lepas seramai 10,552 usahawan berjaya dilahirkan dan 90 usahawan adalah di bawah program ‘groom big’.

“Tahun ini kita mensasarkan untuk melahirkan seramai 11,000 usahawan dengan 100 usahawan ‘groom big’,” katanya di majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Bandar Al Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.

 Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Ibrahim Ahmad; Ketua Pengarah Kemas, Tuan Hassan Mohd Amin dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud.

Katanya, dalam mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) MARA mempunyai kapasiti melalui integrated approach di mana pelbagai fasiliti dan kemudahan awam disediakan di bawah satu bumbung meliputi khidmat nasihat, latihan, pembiayaan perniagaan, mewujudkan premis perniagaan, inkubator dan pensijilan.

“Tahun lepas MARA telah mengeluarkan pembiayaan perniagaan melebihi RM400 juta melibatkan 6033 permohonan dan kita akan memberi fasiliti seperti ini kepada usahawan yang bernaung di bawah Ketengah,” katanya.

Katanya, dari segi pendidikan MARA sedang mengembangkan kecemerlangan pendidikan sedia ada untuk dipasarkan hingga ke peringkat global dan yakin kualiti pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara.

Tambahnya melalui kerjasama strategik ini pihaknya mensasarkan 350 orang pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama tahun depan untuk melanjutkan pengajian peringkat persediaan iaitu A-level dan International Baccalaureate di Kolej Ketengah yang dulu dikenali Kolej Risda sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di luar negara.

 “Model pendidikan di Kolej Ketengah ini akan menggunakan pendekatan sepertimana Kolej MARA Banting (KMB) dan Kolej MARA Seremban (KMS) yang telah mencapai prestasi terbaik selama 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kemudahan Kolej Ketengah yang dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan (padang bola sepak,tenis, futsal) serta asrama yang selesa, tenaga pengajar yang profesional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin perkongsian kepakaran dan kemahiran peajar kolej ini mampu memberikan satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan sepertimana yang dicatat oleh KMB dan KMS,” katanya.