Halaman

12 November 2012

MB cabar Presiden Pas bertanding di Parlimen Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang ingin bertanding di Pekan, Pahang sekaligus mencabar kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, supaya bertanding di Kemaman pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13).

Beliau bekata, pihaknya mengalu-alukan Abdul Hadi bertanding di kawasan itu menentang Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek pada pilihan raya akan datang bagi menguji kekuatannya.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal seakan-akan mencabar Presiden Pas itu bertanding di Kemaman bagi menguji kehebatannya dan Pas dalam memperoleh sokongan rakyat setempat.

“Tidak perlulah (Presiden Pas) bertanding ke negeri orang lain, kalau berani datanglah bertanding di Parlimen Kemaman.

“Itu semua hanya gimik politik, bohong belaka dan hanya menjadi mainan mereka lebih-lebih lagi PRU13 semakin hampir. Apa tujuan beliau sebenarnya, mahu publisiti ataupun mahu gali kubur sendiri?”

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau untuk bertanding di sini dan bukannya pergi menentang Perdana Menteri Malaysia,” katanya pada sidang media semalam selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai Peringkat Dun Kijal di Padang Kubu.