Halaman

19 November 2012

Penduduk uzur di Rhu Rendang dapat perhatian pemimpin BN

 Oleh : Amirullah Othman 



Seramai 32 keluarga mewakili 32 cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang melahirkan rasa gembira mereka atas kunjungan dua pemimpin Barisan Nasional (BN), semalam.

Pemimpin berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji NikDirNik Wan Ku, yang telah dipertanggungjawabkan oleh BN bagi menjaga kebajikan penduduk di kawasan tersebut.

Keluarga yang dilawati pemimpin berkenaan terdiri daripada golongan uzur dan menghidapi penyakit kronik. Lawatan itu merupakan program rutin pemimpin BN yang sentiasa mendekati rakyat di kawasan tersebut sejak dahulu lagi walaupun ia dikuasai parti pembangkang.

Abdullah Ahmad, 61, dari Kampung Sungai Kerak 2 yang menghidap penyakit lumpuh dan uzur, sangat terharu dengan sikap prihatim kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Mereka sangat cakna rakyat di kawasan ini dan penduduk mahu pemimpin begini mewakili kami sebagai wakil rakyat,” katanya kepada wartawan Teganukita.

Seorang lagi pesakit jantung, Rokiah Mohamad, 71, dari Taman Desa Darul Iman, Medan Jaya melahirkan rasa syukur kerana dalam beliau menderita dengan penyakit itu masih ada orang yang sanggup datang menziarahinya.

“Kedatangan pemimpin dari Barisan Nasional ini merupakan satu penghargaan kepada saya dan mereka yang menanggung bermacam-macam penyakit lagi,” ujarnya.

Program sehari bermula jam 8.30 pagi itu dimulakan di Kampung Bandar Marang dan berakhir jam 6 petang di Kampung Batangan.

Dato’ Haji Abdul Rahman melahirkan rasa puas hati kerana telah berjaya mengunjungi kesemua keluarga yang dipilih oleh JKKK di kampung masing-masing, terdiri daripada mereka yang uzur, miskin dan pesakit kronik.

“Menziarahi golongan yang susah dan berpenyakit ini merupakan fardhu kifayah yang dituntut dalam ajaran Islam,” katanya.