Halaman

08 November 2012

Perasmian Masjid Khalifah 16 November

Oleh: Noraini Jusoh dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)


Majlis perasmian Masjid Khalifah Taman Jaya, Jalan Pusara, Kuala Terengganu akan diadakan pada 16 November bersamaan 2 Muharram 1434 Hijrah ini.

Pengerusi Masjid Khalifah, Dato’ Aziz Badli Awang Chik berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian masjid tersebut.

Katanya, keberangkatan Tuanku Sultan akan disambut oleh Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail serta Ahli Jawatankuasa Masjid Khalifah Taman Jaya.

“Bermula jam 11.30 pagi dengan ketibaan dif-dif jemputan, majlis akan diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan.

“Seterusnya diikuti dengan ucapan Menteri Besar, Dato Seri’ Haji Ahmad Said dan acara kemuncak tiba apabila Tuanku Sultan menarik tirai sebagai gimik perasmian,” ujar beliau.

Katanya, Tuanku Sultan juga akan solat Jumaat bersama penduduk setempat dan jamuan rakyat turut diadakan selepas itu.

“Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan majlis,” tambah beliau.