Halaman

05 November 2012

Rumah Terbuka Deepavali medan berkumpul semua kaum, nikmati menu dan tradisi kaum India

Oleh: Aida Abd Rahman



Rata-rata tetamu yang memenuhi Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2012 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, malam kelmarin gembira dan teruja kerana majlis itu menjadi platform mereka berkumpul, menikmati menu serta persembahan tradisi masyarakat India di negara ini.


Seorang penuntut Institut Perguruan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, K. Linggatharani, 21 dari Penang, berkata pelbagai persembahan dan sajian kaum India benar-benar membuatnya terhibur dan ceria untuk meraikan sambutan Deepavali tahun ini.

 “Sejak tiga tahun berada di Terengganu kerana menuntut ilmu di sini, inilah pertama kali saya dan beberapa rakan sebangsa berpeluang menyertai rumah terbuka ini dan suasana sungguh meriah serta menghiburkan.

“Inilah peluang keemasan untuk kaum minoriti yang menetap di Terengganu berkumpul dan saling berkongsi kegembiraan ini. Ia juga mampu memperlihatkan keakraban dan penyatuan kaum yang majmuk di negara kita,” katanya.

Seorang lagi tetamu, Encik Wong Choon Kheng, 55, dari Persatuan Buddhis Terengganu, berkata program itu mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara semua kaum di negara ini dan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

“Bukan sahaja tetamu diraikan dengan makanan dan persembahan tradisional, mereka yang kurang bernasib baik dan miskin dari pelbagai kaum yang tinggal di bandar ini juga diberi perhatian dengan mengagihkan sumbangan barang keperluan yang dapat meringankan bebanan terutama pada musim perayaan.

“Walaupun perayaan ini untuk masyarakat India, masyarakat Cina dan Melayu juga turut diraikan. Budaya ini harus diteruskan sampai bila-bila bagi memastikan kita dapat hidup dalam keadaam aman dan sentosa,” katanya.


Seorang lagi tetamu, Khairul Azwandi Ibrahim, 27, dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, berkata dia dijemput ke majlis itu sebagai penerima bantuan sempena perayaan itu.

“ Saya seronok dan gembira dapat menyertai program ini. Pertama kali dijemput ke sini dan mendapat bantuan barangan keperluan.

“Di sini kita bukan sahaja dapat melihat adat dan tradisi kaum India, malah berpeluang menikmati hidangan kaum itu yang mungkin sukar diperolehi di tempat lain,” katanya.