Halaman

20 November 2012

SK Geliga ukir sejarah

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Akhirnya penantian dan debaran setiap calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berakhir pagi semalam setelah keputusan mula diumumkan di setiap sekolah.



Walaupun bukan menjadi sekolah yang terbaik dalam negeri, namun Sekolah Kebangsaan Seri Geliga turut mengukir sejarah mereka apabila keputusan UPSR pada tahun ini amat mambanggakan berbanding sebelumnya.

Seramai 35 calon daripada 241 calon Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang menduduki UPSR telah berjaya memperoleh 5A. Peratusan lulus semua mata pelajaran meningkat tinggi daripada 55.0 % kepada 71.37 %.

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Chui Wai Kin, peningkatan dalam keseluruhan mata pelajaran amat memberangsangkan terutama mata pelajaran bahasa Inggeris yang jatuh merundum pada tahun lepas sebanyak 55.83 % dan meningkat kepada 74.27 %.

“Dengan peningkatan yang banyak dalam bahasa Inggeris dapat menaikkan jumlah keseluruhan peratusan lulus berbanding jumlah peratusan lulus pada tahun sebelumnya.

“Keadaan ini amat membanggakan semua pihak terutama guru-guru yang selama ini banyak meluangkan masa dengan pelajar siang dan malam bagi memastikan anak didik mereka berjaya”, katanya ketika ditemual selepas sesi bergambar dengan pelajar yang peroleh 5A.

Hadir sama ketika keputusan UPSR diumumkan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir yang juga Yang Dipertua Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang turut menyampaikan hadiah jam tangan berserta wang tunai RM50 kepada setiap calon yang memperoleh 5A.