Halaman

04 November 2012

Terengganu komited urus TPK

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata Keluarga (TPK) di seluruh Terengganu walaupun terpaksa menanggung kos pengurusan yang tinggi hampir setiap tahun.

 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Haji Nawi Mohamad, berkata secara purata TPK yang dikelola Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu menanggung hampir RM250 daripada RM450 jumlah sebenar, bagi setiap anak yang dihantar.

 “setiap ibu bapa hanya perlu membayar separuh daripada kos itu iaitu RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah.

“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata ketika berucap pada Program Hafaz Muqaddam Kanak-kanak Taska YPKT, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

 Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Isterinya, To’ Puan Seri Hajah Morliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

 Dalam majlis itu, seramai 1,106 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari TPK seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

 Haji Nawi berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

 Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

 Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

 “Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi,” katanya.