Halaman

21 November 2012

Tiada kejayaan tanpa usaha-Dato' Ahmad Razif

Oleh; Esah Abdullah

Pelajar perlu mengamalkan sikap ingin berjaya tanpa mengira institusi mana tempat menimba ilmu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelajar tidak merasa rendah diri kerana tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

``Sentiasa bersyukur dan sikap rendah diri hendaklah dihapuskan, yang penting berusaha untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi kerana kejayaan tidak akan dicapai jika tiada usaha,’’ katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup Seminar Sehari Kepekaan Gender Di Kalangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2012 bersama Kolej Inforana anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu (PPWNT).

 Katanya, setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri dan ini sudah banyak terbukti kejayaan seseorang bukannya hanya kerana mempunyai kelulusan daripada IPTA tetapi juga mereka di kalangan institusi swasta atau institusi kemahiran.

Seramai 300 peserta daripada pelbagai institusi termasuk institusi kemahiran menyertai seminar tersebut yang mengundang Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie Kompleks Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Puan Suzana Ghazali bagi membincangkan topik `Pengenalan Gender, Isu-isu Semasa dan Keganasan Gender’.

Terdahulu, Pengarah PPWNT Hajah Norrani Abdul Rahman berkata seminar itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kesaksamaan gender kepada pelajar IPT yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

 Selain itu juga meningkatkan ilmu dan pengetahuan peserta mengenai kepentingan gender dalam pentadbiran kerajaan, sistem pendidikan dan pembangunan negara.

``Saya amat berbangga kerana penyertaan peserta dalam program yang pertama kali diadakan ini amat menggalakkan dan program susulan dijangka akan diadakan pada tahun depan,’’ katanya.