Halaman

27 November 2012

TSG tidak pernah terima permohonan rasmi dari Anuar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) tidak pernah menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada Anuar Manan untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TSG tidak pernah menerima surat rasmi daripada Anuar Manan (dua dari kanan)
untuk menyertai semula pasukan itu musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pelumba pasukan profesional benua, Champion System itu untuk kembali menyarung jersi TSG.

 “Saya tidak boleh membuat ulasan lanjut berhubung perkara itu memandangkan Anuar pun tidak pernah menghantar permohonan hitam putih berhubung kesediaannya menyertai TSG. 

“Bagaimanapun, setakat ini apa yang boleh saya maklumkan TSG sudah mempunyai percaturan tersendiri menerusi barisan pelumba handalan yang ada bagi menyertai pelbagai kejohanan terdekat termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) Februari ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Hadi mengulas demikian terhadap laporan media hari ini mengenai kesediaan Anuar Manan untuk menyertai TSG, bekas pasukan yang pernah diwakili tahun lalu.

Laporan turut menyebut Anuar yang bergelar Raja Pecut LTdL 2010 memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama Champion System kerana berhasrat untuk menabur bakti bersama TSG pula.

Encik Hadi berkata TSG kini dibarisi 12 pelumba termasuk pasangan adik beradik, Mohd Hariff dan Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosli, Saiful Anuar Abd Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

Katanya, berdasarkan perkembangan terkini, TSG memerlukan seorang Raja Bukit bagi memastikan misi memburu lebih banyak kejayaan menaiki podium termasuk merampas Jersi Kuning (kejuaraan keseluruhan) pada kejohanan LTdL pada 21 Februari hingga 2 Mac ini.

 “Strategi bagi memastikan kejayaan itu tercapai mungkin menerusi gandingan pelumba serba boleh terutama pada zon pendakian, Mohd Adiq Husainie Othman (kini bersama Champion System) pada musim depan. 

“Gandingan Adiq bersama pelumba sedia ada khususnya Mohd Harrif dan Zamri pada kejohanan akan datang pasti memberi impak kepada TSG dalam memburu lebih banyak kejuaraan pada kejohanan berprestij, sekali gus mengekalkan juara Jelajah UCI Asia buat kali kedua pada musim 2012-2013 pula,” katanya.

Menurutnya, perbincangan susulan akan dibuat untuk menawarkan kontrak kepada Mohd Adiq Husainie (Othman) yang dijangka akan diselesaikan awal bulan depan bagi memastikan pemain kelahiran Terengganu berusia 21 tahun bersama TSG.

Muhammad Adiq pernah merangkul gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan terakhir dalam persaingan Jelajah Malaysia tahun lalu.