Halaman

12 November 2012

YPKT menaiktaraf sistem pendidikan TPK

Oleh: Suriati Ali 

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menaiktaraf sistem pendidikan kanak-kanak di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) supaya bersesuaian dengan perubahan sistem pendidikan di negeri ini.

Taska berkenaan dilengkapi kemudahan pembelajaran canggih atau dikenali sebagai TB-kids di mana kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah boleh mengenali pelbagai jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kanak-kanak yang belajar menggunakan kaedah itu bukan sahaja menunjukkan minat dan semangat untuk mencuba malah berdisplin serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan.

 Pendekatan itu membuatkan kanak-kanak cepat belajar dan mudah mengingati berbanding menerangkan sesuatu perkara menggunakan buku atau `flash card’.

 Penolong Pengurus Taska YPK Batas Baru, Kuala Terengganu,Encik Razali Daud berkata, kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

 Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba.

 “Kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

 “Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.