Halaman

22 December 2012

15 pelajar Kolej TESDEC terima diploma UniKL

Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 15 orang belia yang mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance [DET(AMT)] Kolej TESDEC menerima diploma mereka di Majlis Konvokesyen kali ke-9 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mengikuti program DET(AMT) ambilan pertama pada bulan Julai 2009 apabila Kolej TESDEC bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute (UniKL-MFI) memperkenalkan program diploma berkenaan di negeri Terengganu.

Tempoh pengajian berkenaan adalah selama tiga tahun bersamaan dengan enam semester pengajian selama enam bulan setiap satunya.

Pelajar-pelajar mengikuti kelas teori dan amali di bengkel selama lima semester yang pertama dan kemudiannya menjalani latihan praktikal di pusat-pusat servis automotif terpilih pada semester keenam.

Pelajar yang lulus menerima diploma yang dianugerahi oleh Universiti Kuala Lumpur sendiri.

Pada masa ini, terdapat 118 orang pelajar sedang mengikuti program tersebut di Kolej TESDEC, Marang, Terengganu. Pelajar ambilan ketiga pula akan menjalani latihan industri pada bulan Januari 2013 nanti dan dijangka tamat pengajian pada bulan Julai 2013.

Sepanjang tempoh pengajian para pelajar dibimbing oleh pensyarah yang terlatih di dalam bidang automotif berkelayakan ijazah dan menjalani latihan di bengkel automotif serba lengkap dengan kenderaan dan peralatan terkini.

Belia-belia yang berminat memasuki kolej berkenaan boleh berhubung dengan Bahagian Kemasukan dan Rekod, Kolej TESDEC, 21600 Marang, Terengganu atau telefon. 09-627 2222 atau melayari www.tesdec.edu.my.