Halaman

13 December 2012

Adakah Pas amal nilai mulia?

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pemimpin Pas dilontarkan dengan persoalan sama ada mereka dan pengikut parti itu mengamalkan nilai-nilai mulia apabila kanak-kanak yang belajar di tadika milik parti itu diajar memijak gambar-gambar pemimpin negara.

YB Haji Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) turut mengajukan soalan sama ada parti itu mengamalkan nilai-nilai mulia apabila pemimpin dan pengikut Pas menggelarkan pemimpin Umno ‘taghut’ dan melakukan pelbagai perkara lagi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Berucap membahaskan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, beliau berkata amalan buruk yang dilakukan pemimpin Pas dan pengikut mereka tidak membawa sebarang faedah kepada pembangunan negeri ini.

“Sebaliknya Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pelbagai program dan projek untuk rakyat, termasuk pemberian bantuan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemberian bantuan kepada golongan ibu tunggal, keluarga berpendapatan rendah dan belia yang bergaji kecil, sudah pasti mereka akan menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, rakyat kini tahu berterima kasih dan bersyukur dengan pemberian kerajaan dan mereka akan menterjemahkannya dalam bentuk undi menjelang pilihan raya nanti.

Dalam perkembangan lain, YB Haji Nawi meminta jabatan-jabatan berkenaan supaya mengadakan penyelarasan antara agensi sebelum melaksanakan sesuatu projek seperti pemasangan kabel elektrik dan telefon serta paip air bagi mengatasi masalah kerosakan jalan di seluruh negeri.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ini bila jalan raya siap dibina atau baru dibaiki, terdapat kerja-kerja memasang kabel elektrik atau paip air menyebabkan jalan berkenaan rosak teruk.