Halaman

18 December 2012

Angin perubahan meresapi DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Beberapa penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berharap `angin perubahan’ bakal meresapi kawasan mereka hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang dijadualkan menemui rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Sabtu ini.

Majlis Jamuan Rakyat Bersama TPM itu dijangka akan dibanjiri lebih 20,000 penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Durian Mas, Encik Zulkifli Mat Amin berharap kunjungan Tan Sri Muhyiddin memberi isyarat kepada seluruh penduduk bahawa kepimpinan negara sentiasa bersama-sama rakyat khususnya penduduk di DUN itu.

 “Pemimpin hebat seperti Timbalan Perdana Menteri sudi ke Manir membuktikan mereka mengambil berat dan tidak pernah meminggirkan rakyat di sini walaupun berada jauh dari bandar.

“Sekurang-kurangnya dengan kehadiran TPM, mungkin ada khabar gembira bakal diterima dan dapat mendatangkan manfaat buat kita semua. Moga kita dapat menilai apa yang sudah dan bakal dilaksanakan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat, seterusnya memilih parti yang memberi kebaikan kepada kita, bukan parti yang mengajak kepada perpecahan sesama umat,” katanya.

Cik Rohaya Muhamad dari Kampung Beladau Kolam, pula berharap penduduk di DUN Manir tidak menoleh ke belakang lagi dan memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Terlalu banyak jasa dan pengorbanan dilakukan kerajaan BN dan Umno. Saya percaya kunjungan Tan Sri Muhyiddin dapat menyemarakkan semangat kebangkitan di jiwa penduduk dan jentera parti untuk mengembalikan Manir kepada BN semula,” katanya.

Encik Meor Asmadi Ahmad dari Kampung Tanah Lot, Sekati berharap lawatan TPM mencetus dimensi baru dari aspek pembangunan infrastruktur dan juga mentaliti penduduk di DUN itu.

Katanya, kawasan Manir sekali lagi menjadi tumpuan pucuk pimpinan negara kerana mereka prihatin dengan nasib penduduk sekali gus berusaha untuk memastikan DUN itu tidak terus bergelap di bawah Pas. 

Sehubungan itu juga, Umno akan melancarkan ‘Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ yang dijangka mencetus semangat kepada jentera parti supaya bekerja lebih kuat bagi merebut semula kawasan itu di tangan pembangkang sempena lawatan TPM itu.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata pihaknya berbangga dan berbesar hati dengan kesudian Timbalan Perdana Menteri `menjenguk’ Manir ketika musim PRU13 kian hampir ini.

Beliau dan pemimpin setempat di DUN itu mengharapkan kehadiran pemimpin negara dapat mencetus kebangkitkan di kalangan rakyat DUN berkenaan untuk memihak kepada Umno dan BN.