Halaman

04 December 2012

Anugerah kedai rakyat 1Malaysia terbatal jika langgar syarat

Oleh; Esah Abdullah

Premis perniagaan yang menerima anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia (KPR1M) bakal menerima tindakan ditarik balik gelaran itu sekiranya melanggar syarat penganugerahan yang ditetapkan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membuat pemantauan untuk memastikan perkara tersebut dipatuhi.

Menurutnya, anugerah ini pada asalnya dikenali sebagai Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 lagi, namun telah dibuat penjenamaan semula pada tahun ini.

 “Anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf premis perniagaan yang menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif, bertepatan dengan kualiti barangan serta perkhidmatan pelanggan ditawarkan kepada pengguna,” katanya.

Katanya premis ini juga memberikan kelebihan kepada pengguna untuk mengenalpasti kedai patut dikunjungi, menawarkan produk dan kedai yang baik, bersifat mesra pelanggan supaya mereka dapat membuat pilihan dan memuaskan hati.

Di samping mengekalkan prestasi, peniaga perlu mesra pelanggan, suasana persekitaran bersih, tiada aduan daripada pengguna dan juga mengadakan promosi jualan murah yang betul (jujur).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah KPR1M peringkat Zon Timur 2012 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.. Hadir sama, Timbalan Pengarah Pejabat KPDNKK Terengganu, Encik Ab Ghani Harun.

Pada majlis itu, 263 premis perniagaan dari Zon Timur menerima anugerah, termasuklah Terengganu 80 buah premis, Pahang ( 91), dan Kelantan (92). Menurutnya, penerima anugerah terdiri daripada enam kategori, iaitu barangan pengguna, makanan, ketrampilan, gajet, informasi dan pasaraya .

Katanya, penarafan setiap calon dibuat berdasarkan kepada undian daripada orang ramai (50 peratus) dan panel penilai juga adalah 50 peratus.

 “Percalonan dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui www.1pengguna.com atau secara manual di pejabat-pejabat KPDNKK di seluruh negara. sehingga ini, 4,000 usahawan telah mengisi borang untuk percalonan bagi tahun hadapan,” katanya.