Halaman

14 December 2012

Doktor jalani akreditasi kepakaran sebelum berkhidmat di Hospital Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepasukan pegawai perubatan sedang menjalani status akreditasi bagi pengesahan kepakaran sebelum berkhidmat sepenuhnya di Hospital Besut (HB) yang bakal dinaiktaraf sebagai Hospital Berpakar tidak lama lagi.

Pasukan perubatan berkenaan yang diwujudkan menerusi program perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan, Institusi Pengajian Tinggi Swasta serta pakar perubatan dan pembedahan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZa itu bakal menawarkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan termasuk melakukan pembedahan di HB.

“Memorandum Persefahaman (MoU) sudah ditandatangani bagi merealisasikan hasrat itu serta pasukan doktor pakar juga sedang menjalani akreditasi bagi mengesahkan kepakaran mereka sebelum dibenarkan berkhidmat di Hospital Besut,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada hari ketiga Persidangan DUN, kelmarin (12 Disember).

Hospital Besut sebuah hospital daerah tanpa pakar yang beroperasi pada Oktober 1975 dengan kapasiti 124 katil ditingkatkan kepada 140 katil bagi menampung keperluan pesakit yang semakin bertambah.

Sebelum ini, masalah kekurangan kemudahan peralatan dan doktor pakar di HB sering dibangkitkan penduduk daerah itu menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengambil langkah mengemukakan cadangan  itu kepada kementerian untuk menaiktaraf HB sebagai Hospital Berpakar.

Sementara itu, Dr A Rahman berkata pembinaan `Teaching Hospital’ atau Hospital Pengajar UniSZa sedang di peringkat penelitian dan perbincangan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

 “Skop hospital berkenaan pada fasa pertama adalah menempatkan 100 katil dengan kos kira-kira RM150 juta.

 “Insya-Allah apabila hospital berkenaan siap, kemudahan itu bukan sahaja dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat Kuala Nerus, malah mampu mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

 Hospital Pengajar UniSZa berharga RM150 juta yang dijangka siap pada 2015 bakal menawar program peringkat pasca siswazah seterusnya melahirkan lebih ramai pakar perubatan di negara ini.

UniSZa bakal menjadi universiti kelima di negara ini memiliki hospital sendiri selain Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).