Halaman

27 December 2012

Jalan tanah runtuh boleh dilalui

Jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Air Puteh di Kilometer 139 kini sudah boleh digunakan selepas kerja membaik pulih jalan terbabit yang terjejas akibat runtuhan tanah awal pagi semalam selesai dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam kejadian itu, lapan buah kereta tertimbus apabila tebing jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Jalan Air Puteh di kilometer 139 di Kemaman runtuh, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata, jalan tersebut dibuka kira-kira 5 petang semalam dan turut terbabit dalam runtuhan tanah itu ialah sebuah lori dan lima kenderaan jenis sedan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kini jalan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi ini tebing jalan setinggi 12 meter runtuh dan menimbusi jalan sepanjang 50 meter.

Tebing jalan runtuh kira-kira 3.30 pagi ini lalu menghempap kenderaan-kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan berkenaan.

"Kita khuatir kemungkinan ada orang yang tidur di dalam kereta yang tertimbus itu," katanya sebelum ini.

Che Suza berkata pihaknya menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang tertimbus menggunakan jentolak.

Katanya kejadian itu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan pergerakan tanah di kawasan itu. Menurutnya runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku pergerakan tanah.