Halaman

02 December 2012

Kolej Ketengah ambil 350 pelajar pertama 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan 350 orang pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama mulai tahun depan (2013).

 Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, usaha ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Ketengah dan MARA untuk pembangunan dalam sektor pendidikan.

“Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian peringkat persediaan A-lever dan International Baccalaureate di kolej ini sebagai persediaan ke universiti terkemuka di luar negara,” katanya.

Katanya, kolaborasi antara dua agensi ini mampu bersaing di peringkat globalisasi di samping membangunkan modal insan yang akan menjadi nadi dalam memacu bidang pendidikan ke tahap global.

“Pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, Kolej Ketengah dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan serta asrama yang selesa serta tenaga pengajar yang professional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin pelajar di kolej ini nanti mampu memberi satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan seperti lain-lain pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya